Februari 19, 2014

Polis Selangor berjaya mematahkan sindiket antarabangsa terbesar membabitkan pengklonan kad ATM yang digunakan dalam penipuan perbankan di negara Malaysia berikutan tertangkapnya dua lelaki Sri Lanka bersama 2,217 keping kad ATM klon pelbagai jenis di sebuah kondominium di Ampang dekat sini pada Isnin lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam itu, turut dirampas 58 kotak keselamatan, sebuah mesin pencetak, satu pembaca data kad, dua telefon bimbit dan satu unit komputer riba.

Seorang daripada suspek yang ditahan merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) sejak 2008 manakala seorang lagi memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong yang tamat tempoh Januari lepas.

Modus operandi kedua-dua suspek berumur 28 dan 38 tahun yang bertindak sebagai 'runner' itu ialah menggunakan kad ATM klon dari bank luar negara untuk mengeluarkan wang RM1,000 setiap transaksi dari ATM di beberapa bank tempatan.

Siasatan lanjut turut mendapati sindiket berkenaan telah dua bulan menjalankan aktiviti itu di Kuala Lumpur dan Selangor. Siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah orang tengah yang mengeluarkan wang dari mesin ATM, manakala data akaun dan nombor pin digodam di luar negara.

Siasatan mendapati kebanyakan mangsa mereka adalah daripada Kanada.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan penipuan - petikan BERNAMA

Apa yang saya lihat tadi, mereka mempunyai senarai nombor pin untuk kad-kad tersebut. Mungkin mereka telah mendapat nombor PIN dengan meletak alatan khas di mesin ATM untuk mencuri duit. Bila nombor PIN sudah ada, apa yang mereka perlukan hanyalah kad klon untuk mengeluarkan duit di kemudian hari.

Tip:

  1. Sentiasa amalkan pengeluaran secara berhemah di ATM, maksud berhemah di sini adalah sentiasa pastikan di mesin ATM tersebut tidak terdapat sebarang alat yang mencurigakan.
  2. Sentiasa ambil tahu apa yang berlaku pada akaun anda jika terdapat pengeluaran yang mencurigakan.  


Sumber gambar - Harian Metro

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © BudakBotak.com © - Date A Live - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -